Bola Sepak

Tiada faktor X, salah pengadil - Solskjaer

Oleh AFP

London: Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui bahawa pasukannya tidak mempamerkan kualiti dalam permainan menyebabkan mereka tersungkur di tangan pasukan tercorot liga, Sheffield United.

Solskjaer berkata, pasukannya kurang faktor X sehingga menyebabkan mereka mengalami kekalahan liga buat kali pertama sejak 1 November lalu.

Beliau juga menyalahkan pengadil kerana melakukan dua kesilapan iaitu penjaga gol David De Gea dikasari ketika gol pembukaan Sheffield dan tidak mengesahkan jaringan Anthony Martial.

"Dua keputusan yang salah, tidak konsisten dan pengadil terlepas pandang kedua-dua perkara itu," katanya.

Harapan United untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sedikit terjejas selepas kekalahan 1-2 kepada Sheffield.

Keputusan mengejutkan di Old Trafford itu menyaksikan Manchester City kekal di tangga teratas dengan kelebihan satu mata dan meningkatkan keyakinan skuad kendalian Pep Guardiola menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara liga buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

The Blades membuka jaringan pada pertengahan separuh masa pertama apabila Kean Bryan menyempurnakan sepakan penjuru John Fleck tatkala De Gea gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagaimanapun, anak buah Solskjaer berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 apabila sepakan sudut Alex Telles ditanduk masuk Harry Maguire.

Bagaimanapun, Sheffield kembali di depan 10 minit kemudian apabila United gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan rembatan Oliver Burke masuk menerjah gawang.

The Blades baru mengumpul lima mata daripada 19 perlawanan iaitu rekod terburuk dalam sejarah EPL dan mereka tidak pernah mencatat kemenangan di Old Trafford sebelum ini sejak 1973.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 8:40am
d