Bola Sepak

Atalanta lunas dendam 2019

Oleh AFP

Milan: Aleksey Miranchuk menjaringkan gol kemenangan bagi membantu Atalanta yang beraksi 10 pemain mengalahkan Lazio 3-2 dalam aksi suku akhir Piala Itali yang penuh mendebarkan.

Perlawanan penuh dramatik di Bergamo itu menyaksikan lima penjaring gol yang berbeza, kad merah dan kegagalan menyempurnakan penalti tatkala Atalanta berjaya menebus kekecewaan 2019 kalah 0-2 kepada Lazio dalam perlawanan akhir kejohanan berkenaan.

"Ia sangat menarik. Perlawanan yang penuh warna-warni, sangat luar biasa," kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.

Atalanta, yang memburu trofi utama kedua mereka dalam sejarah selepas kali terakhir muncul juara Piala Itali 1963, sekarang ini belum kalah dalam 14 perlawanan semua kejohanan dan akan berdepan Napoli atau Spezia di separuh akhir nanti.

"Mara ke separuh akhir adalah satu pencapaian luar biasa. Ini adalah kejohanan yang kami mahu mendapatkan keputusan paling terbaik dan mara sejauh mungkin," kata Gasperini.

Pertahanan Albania, Berat Djimsiti meletakkan Atalanta di depan seawal minit ketujuh namun pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 apabila Vedat Muriqi menanduk masuk hantaran lintang Francesco Acerbi.

Acerbi melakukan gerakan menarik untuk meletakkan Lazio di depan 11 minit sebelum rehat apabila berjaya melepasi tiga pertahanan sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang.

Bagaimanapun, Atalanta berjaya menyamakan kedudukan melalui Ruslan Malinovsky hasil gerakan cantik Luis Muriel sebelum separuh masa pertama berakhir.

Walaupun kehilangan seorang pemain selepas Jose Palomino dilayangkan kad merah kerana menolak Manuel Lazzari, Atalanta berjaya memperoleh gol kemenangan apabila Cristian Romero melakukan hantaran pendek kepada Miranchuk yang mudah meledakkan jaringan.

Turut mara ke separuh akhir ialah Juventus yang berjaya membelasah SPAL 4-0 tatkala Cristiano Ronaldo direhatkan dalam perlawanan berkenaan.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 11:40am
d