Bola Sepak

'Hadiah terbaik dilantik pengurus Chelsea'

Oleh AFP

London: Thomas Tuchel berkata dilantik selaku pengurus Chelsea adalah 'hadiah terbaik yang masih tinggal di bawah pokok' selepas dipecat oleh Paris Saint-Germain (PSG) pada sambutan Krismas tahun lalu.

Pengendali dari Jerman itu memenangi dua kejuaraan Ligue 1 pada dua musim penuh bersama kelab Perancis itu selain membantu mereka mara sehingga ke pentas final Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Bagaimanapun beliau dipecat bulan lalu selepas prestasi kurang konsisten di awal musim selain tidak sehaluan dengan pengarah sukan kelab, Leonardo.

Chelsea pula memecat Frank Lampard selepas melalui lima kekalahan daripada lapan aksi Liga Perdana Inggeris dengan kelab London itu kini bersaing untuk layak ke Liga Juara-Juara pada musim depan.

Kali pertama di bawah bimbingan Tuchel, Chelsea seri tanpa jaringan di tempat sendiri ketika bertemu Wolves, Rabu lalu.

Bagaimanapun beliau percaya skuad bimbingannya mampu memenangi sesuatu pada musim ini.

"Saya dipecat pada Krismas lalu dan tiba-tiba empat minggu selepas itu saya memperoleh hadiah terbaik yang masih tinggal di bawah pokok," kata Tuchel.

Chelsea akan bertemu Barnsley pada pusingan kelima Piala FA dan Atletico Madrid di pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Tuchel mensasarkan kedua-dua saingan itu dan mahu Chelsea bersaing merebut kejuaraan liga pada musim depan.

Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 8:09am
d