Bola Sepak

Konate, Silva gandingan mantap TFC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas tiga tahun meninggalkan bumi Terengganu, kehadiran semula bekas arkitek skuad T-Team kelahiran Mali, Makan Konate bukan sahaja dinantikan peminat setia skuad Penyu itu.

Malah bekas rakan sepasukannya dalam skuad Persebaya Surabaya di Liga Indonesia musim lalu, David Da Silva turut tidak sabar untuk meneruskan sentuhan berbisa dalam skuad Terengganu FC (TFC) musim ini.

Penyerang kelahiran Sao Paulo, Brazil yang meledak 35 gol sepanjang 45 penampilan bersama kelab Surabaya bermula 2018 juga akui lorongan bola dari Konate mampu membantunya segera mendapat rentak untuk meledak gol.

Konate pernah menyarung jersi pasukan kelab T-Team selama dua musim bermula 2016, sepanjang 21 penampilannya, pemain berketinggian 1.78 meter itu meledak 6 gol selain membantu skuad itu mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia pada 2016.

"Saya mula mengenali Konate sejak 2018 lagi walaupun hanya semusim bersama pemain itu, dia seorang pemain tengah yang hebat selain juga berkemampuan untuk menjaringkan gol.

"Selepas mendapat tahu pasukan TFC berminat untuk mendapatkan kami berdua, saya begitu gembira selain memasang impian untuk bergandingan sekali lagi sebagaimana ketika mewakili kelab Persebaya Surabaya.

"Malah saya juga gembira kerana Konate adalah pemain yang kreatif dan tenang sekali gus mampu memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan.

"Lagipun dia pernah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) juga dengan wakil pasukan di Terengganu, saya pun tahu corak permainannya, ini bonus buat pasukan TFC untuk melangkah lebih jauh dalam liga dan Piala AFC musim ini," katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, pemain berusia 32 tahun berketinggian 1.85 meter yang meminati corak permainan legenda Brazil, Ronaldo bagaimanapun akui perlu sedikit masa untuk membentuk gandingan yang lebih mantap bersama rakan sepasukannya.

"Buat masa ini fokus saya untuk cepat serasi bersama rakan sepasukan, selain untuk memburu seberapa banyak gol, sasaran utama adalah untuk membantu pasukan merakam kemenangan dalam setiap perlawanan apatah lagi TFC bakal bersaing dengan kelab yang hebat dalam Piala AFC nanti.

"Saya juga harapkan rakan sepasukan dapat bekerja lebih keras lagi bagi memastikan TFC mampu menjadi pencabar terkuat dalam liga dan Piala AFC," katanya.

Musim ini TFC membariskan semua tenaga import baharu, selain Silva dan Konate, barisan jurulatih skuad itu yang diketuai Nafuzi Zain turut merantai bekas pemain tengah Sabah musim lalu, Petrus Shitembi dari Namibia, Christopher Herd (Australia) dan Carli De Murga dari Filipina.

Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 1:28pm
d