Bola Sepak

Tuchel janji 'selamatkan' Werner

Oleh AFP

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel memberi jaminan akan membantu Timo Werner kembali kepada prestasi sebenar selepas penyerang Jerman itu mempamer aksi hambar pada musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris.

Werner hanya menjaringkan satu gol daripada 16 perlawanan terakhir untuk Chelsea selepas gagal mempamer prestasi sebenar dan hilang keyakinan.

Bekas pemain Leipzig itu diharapkan mampu membantu jentera serangan Chelsea namun dia hanya meledak sembilan gol setakat ini.

Aksi hambar Werner turut memberi kesan kepada Frank Lampard yang kemudian dipecat selaku pengurus sebelum digantikan oleh Tuchel minggu lalu.

"Saya rasa Werner memerlukan ruang untuk menjaringkan gol kerana dia sangat pantas.

"Adakah kami mampu membentuk pergerakan, corak dan sikap untuk memanfaatkan kualiti yang ada padanya? Itu adalah tugas saya dan ia boleh dilakukan.

"Sebab Werner seorang yang terbuka, mesra dan sangat teruja untuk mempelajari sesuatu. Kenapa saya tidak menggunakan khidmatnya ketika bertemu Wolves?, saya dapat lihat beban yang digalasnya ketika ini.

"Jadi amat penting untuk mengembalikan keyakinan dirinya semula dan hentikan keraguan terhadap kemampuannya.

"Tugas saya untuk membantunya dan mencari posisi di mana kita boleh menggunakan kelebihan yang ada padanya," kata Tuchel.

Bekas jurulatih Paris Saint Germain (PSG) itu menggantikan Lampard, Selasa lalu sebelum terus membimbing pasukan ketika melakar keputusan seri tanpa jaringan bertemu Wolves di Stamford Bridge.

Disiarkan pada: January 30, 2021 @ 7:43am
d