Bola Sepak

'Sila rujuk KLFA, bukan KL United'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kelab Liga Super, Kuala Lumpur United (KL United) menafikan mereka terbabit dalam mendapatkan tandatangan jurulatih dari Chile, Simon Elissetche untuk membimbing pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KL United, Stanley Bernard berkata, Elissetche sepatutnya merujuk kontrak berkenaan dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kerana tawaran kontrak berkenaan datangnya dari badan induk itu.

Malah, beliau juga mengakui tidak akan menggunakan khidmat bekas jurulatih Timor Leste itu musim ini.

"Nombor satu tidak ada apa-apa saman setakat ini, tidak ada sesuatu yang rasmi. Apa yang saya dapat hanyalah satu surat notifikasi yang mereka akan buat sebegini begini begini, dan itu bukan bermaksud satu saman.

"Nombor dua, kontrak sudah ditandatangani bersama KLFA, maksudnya saya tidak terlibat dan KL United tidak terlibat dalam benda ini.

"Bagi saya ia sesuatu yang perlu dilihat, ia saya tahu tentang RSTP (Regulations On The Status And Transfer Of Players), tapi dalam keadaan ini bagi saya KLFA masih lagi satu badan yang berfungsi dan elok.

"KLFA mempunyai kontrak dengan Elissetche dan mereka tidak pernah mengatakan apa-apa tentang penyingkiran namanya, dan saya pun tak pernah buangnya sebab saya tak ada hak untuk buang Elissetche.

"Di mana saya hanya katakan saya tidak berminat dengan beliau bersama KL United, itu sahaja," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Elissetche bertindak mahu mengheret skuad Warga Kota ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran penggugurannya daripada pasukan tanpa alasan munasabah dan dilakukan sebelah pihak.

Disamping itu, jurulatih itu turut menuntut KL United membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah tentang ketiadaan lesen kejurulatihan yang sah di mana ia membawa gambaran negatif kepada Elissetche.

Sementara itu, ditanya kemungkinan sudah ada perbincangan untuk menyelesaikan kemelut itu, Stanley mengakui tidak tahu dan ia harus diselesaikan antara pengendali itu dengan KLFA.

"Ini kena tanya KLFA sebab macam saya katakan, kontrak adalah bersama KLFA.

"Setakat apa yang saya tahu, KLFA tidak pernah mengatakan apa-apa kepada Elissetche, dan Elissetche tidak pernah datang berjumpa dengan encik Nokman (Setiausaha Agung KLFA).

"Sebaliknya beliau menggunakan media untuk suarakan sebagai medium pertama dan ia agak anehlah bagi saya. Semua orang boleh tengok terang-terang (ketika sidang media pengumuman untuk menyaman KL United) kepala surat adalah KLFA, bukannya KL United dan ia sangat berbeza...entiti yang berbeza," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2021 @ 2:34pm
d