Bola Sepak

Khedira pulang semula ke Jerman

Oleh AFP

Berlin: Pasukan yang sedang bergelut di Bundesliga, Hertha Berlin mengesahkan mereka dalam perbincangan bersama Sami Khedira dan mungkin akan menandatangani bekas pemain tengah Jerman itu sebelum jendela perpindahan berakhir awal pagi Selasa.

"Kami sedang berbincang dengannya, ada beberapa perkara perlu diselesaikan dan beberapa soalan perlu dijawab sebelum awal pagi Selasa," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hertha Berlin, Carsten Schmidt.

Menurut majalah Kicker, Khedira tiba di Berlin semalam dan melakukan ujian perubatan hari ini.

Pemain berusia 33 tahun itu masih mempunyai kontrak dengan Juventus sehingga hujung musim namun jurulatih, Andrea Pirlo masih belum menurunkannya bagi saingan musim 2020/21.

Schmidt menggambarkan Khedira adalah seorang pemain yang mempunyai daya kepimpinan dan berpengalaman namun sedar bahawa pemain tengah itu sudah lama tidak beraksi.

Khedira membantu Jerman muncul juara Piala Dunia 2014 dan merangkul gelaran Liga Juara-Juara bersama Real Madrid pada 2013/14.

Dia meraih lima gelaran liga Itali dan 145 kali beraksi bersama Juventus sejak berpindah dari Real pada 2015.

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 9:47pm
d