Bola Sepak

Dua gol Ronaldo berikan Juve kelebihan

Oleh AFP

Milan: Cristiano Ronaldo meledak dua gol bagi membolehkan Juventus bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan Inter Milan 2-1 di San Siro dalam aksi separuh akhir pertama Piala Itali.

Pemegang rekod 13 kali juara itu berada dalam keadaan terbaik untuk ke final buat kali keenam dalam tempoh tujuh tahun menjelang aksi timbal balik di Turin Rabu depan.

"Ini baru separuh akhir pertama, kami belum mencapai apa-apa pencapaian lagi. Apa yang kami buktikan jika memberikan sepenuh perhatian ia akan menjadi sukar buat mana-mana lawan sekali pun," kata jurulatih Juventus, Andrea Pirlo.

Inter yang mengalahkan Juventus 2-0 bulan lalu dalam saingan Serie A, melakukan segala-galanya agar mereka boleh meraih Piala Itali selepas kali terakhir muncul juara pada 2011.

"Ia adalah perlawanan penting, dalam perlawanan Serie A Inter membuktikan bahawa mereka bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

"Saingan ini masih belum berakhir, ada satu lagi pusingan dan ia akan menjadi lebih sukar," kata pemain tengah Juventus, Adrien Rabiot.

Inter bermula dengan cemerlang seawal minit kesembilan selepas Lautaro Martinez menyudahkan hantaran lintang Nicolo Barella.

Juventus bangkit pada pertengahan babak pertama selepas memperoleh penalti apabila Ashley Young menjatuhkan Juan Cuadrado.

Selepas menyempurnakan sepakan penalti, Ronaldo menambah gol pada minit ke-35 selepas berlaku kekeliruan di antara Alessandro Bastoni dan penjaga gol Inter, Samir Handanovic.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 11:39am
d