Bola Sepak

Bamford bantu Leeds atasi Palace

Oleh AFP

Leeds, United Kingdom: Patrick Bamford meledak gol ke-100 dalam karier ketika membantu Leeds United mencatat kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace, pagi ini.

Skuad kendalian Marcelo Bielsa mendahului menerusi jaringan awal Jack Harrison di Elland Road.

Bamford meledak selepas waktu rehat untuk memastikan kemenangan kali ketiga Leeds dalam empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Jaringan peribadi ke-12 musim ini adalah detik manis buat Bamford, yang pernah dipinjamkan di Palace pada 2015-16 ketika bersama Chelsea.

"Perkara paling penting adalah memperoleh tiga mata tetapi adalah bagus untuk mendapatkan 100 gol dalam karier. Ia mungkin sudah lama tertangguh," kata Bamford.

"Saya menjadi kapten dalam Fantasy Football. Selepas saya terlepas peluang pada babak pertama yang sangat mengecewakan jadi saya gembira kerana dapat menjaringkan gol."

Leeds berada di tangga ke-10 liga dan penampilan musim pertama kembali semula ke liga utama dengan prestasi yang baik serta masih berpeluang bersaing bagi mengintai tempat ke saingan Liga Europa.

Kemenangan tanpa bolos pertama sejak 29 Disember menjadi pembakar semangat buat Bielsa selepas mengharungi enam perlawanan dengan membenarkan lawan menembusi jaring mereka.

"Tidak melepaskan jaringan juga sangat penting. Kami tidak membenarkan kesilapan yang akan memberi ruang kepada barisan serangan lawan.

"Cara kami bertahan agak bagus ketika memperoleh dua gol dan kami mungkin dapat menjaringkan lebih banyak gol," kata Bielsa.

Disiarkan pada: February 9, 2021 @ 7:40am
d