Bola Sepak

Juventus mara ke final Piala Itali

Oleh AFP

Turin, Itali: Juventus mara ke final Piala Itali berdasarkan agregat 2-1 selepas seri tanpa jaringan menentang musuh utama, Inter Milan, pagi ini.

Skuad kendalian Andrea Pirlo berjaya bertahan dengan baik di Allianz Stadium dan akan berdepan Napoli atau Atalanta, yang seri 0-0 sebelum memulakan perlawanan timbal balik di Bergamo, pagi esok.

Penjaga gol veteran Juve, Gianluigi Buffon tidak berdepan banyak masalah sekalipun lawan diperkuatkan dengan kepulangan Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi dalam pasukan.

Sementara, dua percubaan tepat Cristiano Ronaldo berjaya dinafikan oleh Samir Handanovic.

Juve tidak tewas sejak kalah 0-2 kepada Inter dalam saingan Serie A bulan lalu ketika Pirlo memacu skuadnya bersaing dalam liga dan piala selepas permulaan yang hambar bagi juara Itali itu.

Mereka hanya berjaya melepaskan satu gol sejak kekalahan itu, dalam perlawanan pusingan pertama di San Siro minggu lalu dan prestasi mereka tampak bertambah baik dalam usaha mengejar gelaran kejuaraan pada hujung minggu ini.

Juve ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu AC Milan dan mempunyai kelebihan satu perlawanan sebelum berdepan Napoli, Sabtu ini.

"Ia perasaan yang sangat berbeza sebagai jurulatih, kami sangat gembira tetapi kami belum melakukan apa-apa lagi," kata Pirlo.

"Kami sangat bagus hari ini, mereka secara asasnya tidak mempunyai sasaran tepat ke arah gol. Handanovic adalah pemain terbaik di atas padang." kata pengendali berusia 41 tahun yang memenangi empat kejuaraan liga sebagai pemain Juve.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 9:07am
d