Bola Sepak

Sumareh dicabar mohon maaf

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bintang baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamadou Sumareh digesa tampil membersihkan nama Selangor FC di sebalik pembocoran tawaran kontrak diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kepada beliau musim lalu.

Tonggak skuad kebangsaan itu turut disaran membuat permohonan maaf atas tangkap layar perbincangan antara beliau dan pegawai FAS yang tular sehingga mengaitkan nama Selangor FC dalam kontroversi isu penamatan kontrak Sumareh bersama Pahang.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata pembocoran maklumat sulit itu tidak mencerminkan sikap profesional dan tanggapan buruk yang wujud terhadap Selangor FC disebabkan keadaan itu amat mendukacitakan seluruh peminat skuad Gergasi Merah.

Khalid berkata Sumareh perlu berterus-terang selepas Selangor FC diburukkan dengan anggapan pasukan berkenaan yang menjadi dalang Sumareh mengambil keputusan menamatkan baki kontrak sehingga 2022 bersama skuad Tok Gajah sekali gus menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC.

"Selangor diburukkan sehingga ramai marah termasuk Pahang, jadi sekarang kita tahulah keadaan sebenar perancangan dia (Sumareh) ingin ke JDT. Tak dinafikan dengan fasiliti dan masa depan yang baik, ramai pemain di Malaysia ingin bermain di sana," katanya kepada Bernama, hari ini.

"Tetapi ketika ini sebagai bekas pemain Selangor saya kecil hati dan dukacita sebab sebenarnya bukan Selangor menjadi punca tetapi Selangor yang dikecam.

"Sumareh kena tampil ke hadapan dan ceritakan keadaan sebenar di sebalik perkara itu," jelas beliau.

Mengulas mengenai isu Sumareh dan Pahang, Bernama melaporkan Khalid pernah berkata keputusan Sumareh menyertai Police Tero FC pada September lalu mungkin sebagai satu persinggahan sementara dan suatu 'tempoh bertenang' sebelum menyertai pasukan seterusnya.

Sejurus itu, tular di media sosial salinan tawaran kontrak FAS kepada Sumareh serta tangkap layar perbualan mengenai perpindahan antara beliau dan pegawai FAS sekali gus menamatkan khabar angin bertiup kencang mengaitkan JDT dalam kemelut itu, sebelum ini.

Jelas Khalid, FAS ketika itu seperti dijadikan kambing hitam sedangkan persatuan itu bertindak secara profesional apabila berbincang bersama pemain terlebih dahulu sebelum melakukan usaha mencapai persetujuan di peringkat antara kelab.

"Jelas tindakan serta permainan politik dia itu memang hanya beri kesan negatif kepada Selangor dan mencemar nama baik Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden FAS.

"Jadi beliau kena minta maaf atas perbuatan dia itu yang sehingga kini kita rasa tindakan itu tidak patut dihormati," katanya.

Semalam, Sumareh, yang juga pemain naturalisasi pertama negara, sah diperkenalkan sebagai pemain baharu JDT musim 2021 selepas lebih sebulan dilaporkan meninggalkan Police Tero FC pada Disember lepas.

Sementara itu, legenda bola sepak Pahang Datuk Jamal Nasir Ismail enggan mengulas mengenai kemelut Pahang dan Sumareh yang kini telah dirujuk ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun beliau menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada kontroversi itu.

Bekas pertahanan kental skuad kebangsaan itu, bagaimanapun, menggesa pasukan tempatan supaya lebih profesional dan serius berhubung soal gaji, kontrak dan kebajikan untuk memastikan pemain berasa selamat sekali gus beraksi dengan baik.

Selain menamatkan kontrak bersama Pahang tahun lalu, Sumareh turut membuat aduan rasmi kepada FIFA selepas mendakwa terdapat keculasan berhubung pembayaran gaji ketika bersama Pahang.

FIFA baru-baru ini dilaporkan mengarahkan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) membayar tuntutan berjumlah AS$1.2 juta (kira-kira RM4.9 juta) kepada Sumareh.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 8:02pm
d