Bola Sepak

Chelsea, Southampton ke suku akhir Piala FA

Oleh AFP

Wolverhampton: Aksi cemerlang Thomas Tuchel dengan Chelsea berterusan selepas mencatat kemenangan 1-0 di Barnsley seterusnya layak ke suku akhir Piala FA.

Southampton juga berjaya mara ke suku akhir selepas melupakan prestasi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mara ke kelompok lapan terakhir dengan mengalahkan Wolves.

Tuchel kini menang empat kali dan seri sekali dalam lima perlawanan pertamanya sejak menggantikan Frank Lampard yang dipecat namun skuad The Blues bernasib baik selepas persembahan longlai babak pertama di Oakwell berdepan pasukan Liga Kejuaraan itu.

"Tidak cukup keberanian dan terlalu bertahan untuk tempoh yang lama. Kami jelas boleh bermain lebih baik, memang saya mahukan lebih dari ini tapi tidak berasa kecewa.

"Jika anda kekurangan rentak dan kurang rasa keyakinan dan anda perlu mempamerkan sesuatu di padang, berdepan pasukan yang mengambil semua risiko dan bermain dalam perlawanan terbaik sepanjang hidup mereka, ia bukanlah mudah.

"Kami boleh lakukan lebih baik tetapi saya tidak mahu terlalu menekan pemain," kata Tuchel.

Kepa Arrizabalaga memulakan permainan di gawang sebagai antara 10 perubahan dilakukan terhadap skuad yang menang 2-1 di Sheffield United Ahad lalu.

Tuchel menurunkan Reece James sebagai seorang daripada pemain gantian selepas rehat dan pertahanan kiri itu mencipta gol kemenangan apabila hantaran rendahnya pada minit ke-64 memudahkan Tammy Abraham meledak jaringan ke-12 musim ini.

Southampton yang berjaya mengalahkan Wolves 2-0 akan berdepan wakil tunggal bukan dari EPL, Bournemouth pada kelompok lapan terakhir.

Gol Danny Ings dan Stuart Armstrong memberikan sedikit kelegaan buat skuad kendalian Ralph Hasenhuttl selepas lima kekalahan berturut-turut dalam liga termasuk dibelasah Manchester United.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 10:04am
d