Bola Sepak

Sagnol jurulatih baharu Georgia

Oleh AFP

Tbilisi: Bekas pemain pertahanan Perancis dan Bayern Munich, Willy Sagnol dilantik sebagai pengurus skuad bola sepak kebangsaan Georgia, perkara itu disahkan oleh persekutuan bola sepak negara itu, hari ini.

"Kualiti tinggi perubahan dengan komitmen (persekutuan) dan potensi pasukan meyakinkan saya untuk menerima cabaran hebat ini," kata Sagnol dalam klip video yang disiarkan di laman Facebook skuad kebangsaan itu.

"Dengan kerja keras yang lebih kuat, disiplin dan keazaman, saya pasti kita dapat menghasilkan babak menarik bersama-sama dalam sejarah bola sepak Georgia," tambahnya ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sagnol, 43, tidak menguruskan pasukan sejak 2017, selepas dia menjadi pengurus interim di Bayern Munich.

Bekas pertahanan kanan itu memulakan karier pengurusan pada 2013 apabila dia melatih skuad bawah 20 tahun Perancis.

Tahun berikutnya dia mengambil alih kelab Ligue 1 Perancis, Bordeaux tetapi dipecat sebelum tamat musim 2016 selepas rentetan keputusan mengecewakan.

Sagnol akan menjadi warga Perancis yang kedua menguruskan Georgia - skuad yang berada di tangga 89 dalam ranking terbaru FIFA - selepas Alain Giresse, memimpin skuad berkenaan dari 2004 hingga 2005.

Sagnol beraksi 58 kali buat Perancis termasuk final Piala Dunia 2006 berdepan Itali.

Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 8:54am
d