Bola Sepak

UiTM FC asah taring dalam saingan 3 penjuru

Oleh Firdaus Hashim

Shah Alam: Piala Bandaraya Shah Alam bakal menggunakan konsep gelembung sukan seperti mana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, pertandingan dianjurkan pihaknya bersama Kelab Bolasepak UiTM itu bakal menyaksikan penyertaan tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) iaitu Perak FC, Terengganu FC II dan UiTM FC secara sepusingan.

Jelasnya, konsep gelembung sukan atau latihan berpusat pramusim ini adalah mirip kepada latihan pramusim yang digunakan oleh pasukan-pasukan dalam Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat di mana, pasukan akan berkampung di satu tempat iaitu di Tucson, Arizona.

Katanya, disamping sesi latihan, pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan Tucson Sun Cup sebagai persiapan sebelum MSL bermula.

"Bagi menghadapi saingan musim Liga M yang akan bermula pada 5 Mac ini, UiTM FC dengan kerjasama MBSA akan mengadakan program latihan berpusat pramusim tiga penjuru.

"Latihan pasukan akan diadakan di padang DATC UiTM dan Padang Kompleks Sukan UiTM di Shah Alam. Pihak UiTM FC menyediakan dua sesi latihan setiap hari kepada semua pasukan yang mengambil bahagian.

"Disamping latihan, tiga pasukan ini akan mengadakan perlawanan persahabatan dan semua aksi akan bermula pada jam 9 malam bertempat di Stadium UiTM Shah Alam," katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, setiap pasukan akan mengikut segala aspek pematuhan yang digariskan dalam SOP seperti diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) malah ia sudah dimaklumkan kepada semua pasukan menerusi mesyuarat secara atas talian Isnin lalu.

"Konsep gelembung sukan diberi penekanan utama di mana semua pemain dan pegawai yang terbabit dengan program latihan pramusim ini hanya dibenarkan bergerak dari hotel ke venue latihan dan venue perlawanan persahabatan sahaja.

"UiTM sebagai venue utama sudah membuat persiapan rapi dengan memasang poster pematuhan SOP, memastikan pasukan menjalani ujian swab, mengadakan pemeriksaan suhu , mewajibkan pemakaian "facemask" dan memastikan penjarakan fizikal dipatuhi sebaik tiba di venue latihan dan Stadium UiTM.

"Disamping itu, UiTM FC akan memastikan venue akan dinyahkuman sebelum dan selepas perlawanan persahabatan dan latihan," katanya.

Berdasarkan jadual pertandingan, aksi pertama membabitkan pertemuan antara UiTM dan Terengganu II FC pada Jumaat ini.

Skuad penyu itu sekali lagi akan turun beraksi Ahad ini apabila dijadual menentang Perak FC, sebelum menutup kempen dengan aksi terakhir membabitkan UiTM FC dan Perak FC, Selasa ini.

Pasukan yang mengumpul mata tertinggi, akan diumumkan sebagai juara edisi sulung itu.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 3:08pm
d