Bola Sepak

Orang politik kacau PAFA

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Apa kuasa dia untuk campur urusan pentadbiran di PAFA (Persatuan Bolasepak Perak)?.

"Sedangkan PAFA sudah ada Exco, tapi Exco diketepikan begitu saja. Ini melanggar perlembagaan dan sesuka hati."

Demikian keluhan beberapa pihak dikalangan ahli gabungan PAFA yang nyata tidak berpuas hati dengan campur tangan orang luar atau lebih tepat ahli politik dalam pengurusan pasukan Perak FC dan PAFA.

Menurut sumber, campur tangan yang terlalu banyak oleh pihak berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana ia melanggar statut persatuan itu.

Katanya, isu membabitkan logo Perak dan pengumuman sesuka hati berkenaan persiapan Perak FC menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) pada 5 Mac ini langsung tidak dibincangkan secara jelas bersama Exco.

"Eloklah Exco Sukan Perak jaga lain-lain sukan sama, kenapa bola yang dia sibuk sangat. Cukup sekadar bantu masalah yang ada bukan ketepikan Exco PAFA.

"Sepatutnya Datuk Muhammad Yazan Mohamad (Naib Presiden PAFA) yang menerajui PAFA menegur kepada YB (Yang Berhormat) di atas salah guna kuasa.

"Sepatutnya buat secepat mungkin mesyuarat Exco PAFA bagi bincangkan semua perkara berbangkit.

"Malah, kedudukan YB itu untuk duduk dalam Lembaga Pengarah Perak FC pun belum disahkan oleh Exco PAFA, kerana tiadanya mesyuarat untuk melantik beliau. Mana boleh guna jawatan di peringkat negeri dan itu tak sepatutnya berlaku," kata sumber berkenaan.

Ujar sumber itu lagi, satu mesyuarat Exco akan diadakan pada minggu depan selepas beberapa kali dibatalkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada Exco yang dah desak supaya diadakan mesyuarat dengan segera. Penyokong dan rakyat Perak sebenarnya bimbang dengan masa depan pasukan yang terlalu banyak dipengaruhi unsur politik," katanya.

Sebelum ini, kemelut PAFA bermula apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melepaskan jawatan sebagai Presiden PAFA bulan lalu sambil mendedahkan wujud tunggakan gaji pemain dan pegawai berjumlah RM3. 8 juta.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri memberi komitmen untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan sebelum saingan Liga-M bermula bulan depan.

Selain itu, skuad The Bos Gaurus turut terpalit dengan isu logo pasukan hingga memaksa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar satu pertandingan mencipta logo baharu diadakan.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 9:43pm
d