Bola Sepak

PSG dihukum Monaco

Oleh AFP

Paris: Paris Saint-Germain yang masih lagi dibuai kejayaan dalam aksi Liga Juara-Juara dihukum apabila tewas 0-2 kepada bekas pasukan Kylian Mbappe, Monaco sekali gus meranapkan harapan sebagai pendahulu Ligue1 yang menyaksikan Lille kembali merebut tempat teratas.

Sofiane Diop dan Guillermo Maripan meletakkan nama sebagai penjaring untuk memberikan Monaco mata penuh seterusnya melebarkan rekod kemenangan tanpa kalah kepada 11 perlawanan dan kini dua mata di belakang PSG yang kini menghuni kedudukan ketiga.

Walaupun Monaco masih dalam usaha untuk kembali ke Liga Juara-Juara, PSG kini satu mata di belakang Lyon yang berada di tangga kedua dan empat mata di belakang Lille yang melonjak selaku pendahulu liga selepas menang 4-1 di Lorient.

Ia adalah malam yang mengecewakan buat PSG apabila gagal bertahan selepas cemerlang pada pertengahan minggu lalu apabila menang ke atas Barcelona dalam aksi pusingan pertama Liga Juara-Juara 16 terbaik yang menyaksikan Mbappe meledakkan hatrik untuk menang 4-1.

"Kami tidak berada di tahap yang kami harus capai untuk menang. Sebagai jurulatih saya ambil tanggungjawab itu.

"Kami bercakap mengenai pentingnya menjaga tahap konsentrasi kami tapi kami tidak dapat mengulangi prestasi lalu pada malam seterusnya," kata Mauricio Pochettino.

Kini PSG berdepan kemungkinan terlepas gelaran juara Ligue 1 buat pertama kali sejak Mbappe menyertai mereka dari Monaco pada 2017.

Disiarkan pada: February 22, 2021 @ 1:21pm
d