Bola Sepak

Shahurain cari pasukan baharu

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sekalipun masih belum berhasrat menggantung but namun hasrat Shahurain Abu Samah untuk beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini mungkin tidak kesampaian.

Ini berikutan sehingga kini belum ada mana-mana pasukan dalam liga domestik yang menunjukkan minat mendapatkan pemain berpengalaman itu.

"Setakat ini belum ada mana-mana pasukan dalam Liga M yang menyatakan hasrat untuk mengambil saya bermain.

"Walaupun sebelum ini terdapat satu dua pasukan yang berbincang secara lisan, namun ia tiada kata putus.

"Saya masih tercari-cari pasukan baharu kerana minat masih kuat untuk beraksi, tanpa mengira pasukan sama ada dalam Liga Perdana mahupun Liga FAM," katanya.

Bekas pemain Negeri Sembilan musim lalu itu berkata, dia masih mampu memberikan persembahan terbaik sekiranya diberi peluang, malah akui bebas daripada sebarang kecederaan selain masih mengekalkan tahap kecergasan terbaik.

Menurutnya, walaupun akui kebanyakan pasukan mahu menggunakan khidmat pemain muda, tetapi pemain berpengalaman sepertinya juga boleh memberikan sumbangan terbaik dalam membantu menjulang nama pasukan.

"Jika mengambil kira rekod dan pencapaian beberapa pasukan dalam Liga M sebelum ini, tidak dinafikan sumbangan pemain berpengalaman yang dilihat masih penting dalam membantu kejayaan sesebuah pasukan.

"Bagaimanapun, saya akui pengurusan sesebuah pasukan itu mempunyai kriteria dan strategi tersendiri dalam memilih pemain mereka.

"Setakat ini, saya belum bercadang untuk menggantung but dan jika ada tawaran, saya bersedia untuk bermain," kata pemain kelahiran Kajang, Selangor yang kini berusia 35 tahun.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 8:13pm
d