Bola Sepak

Jualan jersi JDT laku keras [VIDEO]

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Siapa kata jual jersi tak menguntungkan bagi pasukan bola sepak tempatan apabila juara tujuh kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menjual jersi terbaharu mereka mencecah jutaan ringgit hanya selepas sehari dilancarkan semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers memaklumkan bahawa jersi musim 2021 laris bagaikan pisang goreng panas dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.6 juta.

Malah, semua platform jualan atas talian membabitkan jersi berkenaan turut kehabisan stok sekali gus peminat bola sepak tanah air terpaksa menunggu seminggu lagi untuk mendapatkannya.

Sebelum itu, kelab gergasi terbabit melancarkan jersi baharu 'Home' dan 'Away' bagi menghadapi saingan musim 2021 menerusi satu video pengenalan.

Kekal bersama jenama sukan terkenal dunia, Nike, jersi dengan kombinasi warna biru dan merah serta berkonsepkan berlian itu bakal digunakan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut tersebut sebagai jersi tuan rumah.

Bagi jersi pelawat pula, sentuhan yang cukup menarik dengan putih menjadi warna utama disamping terdapat adunan kombinasi biru dan merah.

Lebih menarik, jersi kedua ini tampil dengan kolar yang pastinya diminati oleh para penyokong JDT.

Selain itu, kerjasama yang dimeterai antara JDT dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Disember tahun lalu menyaksikan logo badan pertubuhan antarabangsa itu diletakkan pada kedua-dua jersi berkenaan.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 5:03pm
d