Bola Sepak

Impian menggunung Izzan Syahmi

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Walaupun belum lagi 'dipinang' skuad Liga Super musim ini, tiada istilah patah semangat buat penyerang berbakat Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Izzan Syahmi Mustapa.

Sebaliknya bekas tonggak skuad Bawah 23 Tahun negara itu berazam untuk membuktikan kemampuannya meledak jaringan dalam kancah Liga Perdana musim ini.

Menurutnya, ketiadaan pemain import Jepun, Bruno Suzuki yang tidak disambung kontrak musim ini bagaikan membuka peluang buat dirinya untuk meningkatkan lagi prestasinya.

Malah pemain kelahiran Kemaman itu mengidam untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama bersama skuad The Turtles sebelum mengintai peluang bersama skuad Sang Penyu selepas ini.

"Setiap pemain mengimpikan aksi di pentas tertinggi begitu juga dengan saya yang berhasrat bersama pasukan TFC dalam saingan Liga Super, tapi mungkin belum tiba masanya lagi untuk mengharungi saingan liga utama itu, namun saya tidak putus asa sebaliknya akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi bersama pasukan TFC II musim ini.

"Ketiadaan Suzuki yang sebelum ini kerap bergandingan dengan penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah di posisi serangan mungkin membuka peluang lebih luas kepada pemain tempatan.

"Kebetulan saya pernah beraksi bersama Mintah musim lalu, jadi saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk membentuk keserasian dengan penyerang import itu.

"Namun saya akui pemain tempatan lain juga tidak kurang hebatnya, jadi saya juga perlu bersaing secara positif kerana sedar hanya pemain yang mampu memikul tugasan yang diamanahkan jurulatih sahaja layak berada dalam kesebelasan utama," katanya yang pernah beraksi bersama pasukan Piala Presiden Terengganu selain Liga Amatur Terengganu (TAL).

Berdasarkan rekod Izzan Syahmi pernah menyarung jersi pasukan negara bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pada kelayakan B-23 AFC pada 2019 selain turut beraksi dalam kejuaraan B-22 di Kemboja dan Piala Newspaper di Vietnam pada 2018.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC II, Badrul Afzan Razali akui pemain itu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

"Potensi Izzan Syahmi agak baik dalam pasukan, ketika bertemu UiTM baru-baru ini saya gandingkan dia dengan Mintah, dia berjaya pamerkan aksi meyakinkan.

"Tapi pemain itu perlu meningkatkan lagi prestasi sama ada dalam latihan ataupun perlawanan kerana pemain lain juga tidak kurang hebatnya," katanya kepada Sukan NSTP.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 7:18pm
d