Bola Sepak

'Kuda tua' berharga - Badrul

Oleh BadrulMalik Muhamad

Kuala Terengganu: Walaupun berstatus 'kuda tua', kehadiran pemain kelahiran Kyoto Jepun, Masaki Watanabe adalah aset berharga buat pasukan pembangunan, Terengganu FC II (TFC II) musim ini.

Demikian reaksi pengendali skuad The Turtles itu, Badrul Afzan Razali yang turut menyifatkan pengalaman yang dimiliki pemain berusia 35 tahun itu mampu menjadi guru kepada pemain muda skuad TFC II.

"Watanabe adalah pemain berpengalaman dan mampu membantu pemain muda dalam pasukan untuk meningkatkan diri dengan corak permainan berkualiti.

"Walaupun berumur, bagi kami tidak ada masalah untuk bersaing dalam kancah Liga Perdana, kita akan gabungkan dengan pemain muda untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap.

"Jadi kita harapkan kehadiran bekas pemain Kelantan dan FELDA United itu yang boleh beraksi di jentera tengah dan pertahanan, perancangan dan pencapaian terbaik mampu dilakar pasukan," katanya kepada Sukan NSTP.

Musim ini TFC II hanya menyenaraikan tiga tonggak import termasuk dua pemain musim lalu, Jordan Mintah yang beraksi di bahagian serangan selain Argzim Redzovic di jentera pertahanan.

Skuad itu juga diperkuatkan dengan tiga bekas pemain Terengganu FC (TFC) musim lalu iaitu Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid dan Muhammad Hairiey Hakim Mamat.

Jurulatih berusia 45 tahun itu juga menaikkan 'pangkat' empat pemain pasukan Piala Presiden Terengganu iaitu Muhammad Firdaus Rusdi, Muhammad Syafiq Danial Mohd Romzi, Muhammad Syaiful Haqim Shahrul dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Mengenai kapten pasukan, Badrul belum putuskan lagi siapa yang bakal memakai lilitan itu, namun tidak menolak kemungkinan dua pemain import iaitu Mintah dan Redzovic bakal diamanahkan tanggungjawab besar itu.

"Ketika aksi pramusim bertemu UiTM baru-baru ini, saya memberi tanggungjawab itu kepada Redzovic manakala bertemu Sri Pahang, tugas itu digalas Mintah, namun setakat ini saya belum putuskan lagi antara dua pemain itu," katanya kepada Sukan NSTP.

TFC II akan berentap dengan pemain muda daripada Skuad Projek FAM -MSN pada 6 Mac depan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebelum 'terbang' ke Sarawak bertemu Kuching City FC (KCFC) pada 9 Mac.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 7:06pm
d