Bola Sepak

Sri Pahang tak panik

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Biarpun sekadar muncul naib juara Piala Bandaraya Shah Alam (PBSA) 2021, Sri Pahang FC tidak panik dengan prestasi semasa pasukan itu.

Sebaliknya, skuad kendalian Thomas Dooley itu percaya pasukan itu akan menyerlah sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 5 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian itu kerana pasukan itu baharu sahaja kembali menjalani latihan.

"Semua pemain menjalani latihan pusat di Temerloh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tidak kecewa dengan keputusan itu kerana penyertaan itu lebih kepada aksi aksi pemanas badan sebelum liga bermula nanti.

"Pada masa sama, Sri Pahang menggantikan Perak FC yang tidak dapat bermain pada saat akhir," katanya.

Pada aksi PBSA 2021, Sri Pahang merekodkan keputusan seri 2-2 ketika berdepan Terengganu FC (TFC II) disusuli seri tanpa jaringan dengan UiTM FC.

Kejohanan membabitkan tiga pasukan itu menyaksikan TFC II muncul juara manakala UiTM FC di tempat ketiga.

Kelebihan jaringan menyaksikan TFC II dinobatkan juara pada edisi pertama PBSA 2021.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 7:25pm
d