Bola Sepak

Tuchel trauma jumpa Man United

Oleh AFP

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mendedahkan dirinya berada dalam 'kegelapan' selepas Manchester United menyingkirkan Paris Saint Germain (PSG) pada saingan Liga Juara-Juara ketika beliau membimbing kelab Perancis itu.

Tuchel mempunyai peluang untuk membalas dendam kekalahan kepada United apabila anak buah Ole Gunnar Solskjaer berkunjung ke Stamford Bridge tengah malam esok.

Ia adalah pertemuan kali kelima dalam tempoh dua tahun Tuchel bertemu United.

Pengendali berusia 47 tahun itu masih merasai keperitan kekalahan PSG kepada United pada 2019.

Selepas melakar kemenangan 2-0 di Old Trafford, PSG dikejutkan di Parc des Princes tiga minggu kemudian apabila mereka mengalami kekalahan 1-3 sekali gus tersingkir pada pusingan 16 terakhir.

"Sejujurnya selepas tamat perlawanan saya berada dalam tempat yang gelap selama dua hari. Saya tidak mampu bercakap dengan sesiapa pun dan memikirkan perkara lain selain kekalahan itu.

"Ia mungkin kekalahan terbesar yang pernah saya alami kerana ia hadir entah dari mana. Tapi ia hadir. Dua hari saya berada dalam kegelapan buat seorang jurulatih," kata Tuchel.

Ia menjadi satu-satunya kekalahan yang menyebabkan bekas jurulatih Borussia Dortmund itu hilang motivasi namun beliau berkata ia adalah pengalaman cukup berharga.

PSG bangkit selepas itu apabila memenangi Ligue 1 sebelum Tuchel mengetuai pasukan mara ke pentas final Liga Juara-Juara tetapi tewas kepada Bayern Munich pada musim lalu.

"Saya tidak mahu melalui pengalaman seperti itu lagi," kata Tuchel.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 8:40am
d