Bola Sepak

Bale bahagia di Spurs

Oleh AFP

London: Jose Mourinho mendakwa Gareth Bale 'lebih bahagia berbanding sebelumnya' sejak penyerang Tottenham itu menyertai kelab Liga Perdana itu buat kali kedua.

Bale sering berdepan masalah kecergasan dan prestasi hambar sejak kembali ke Tottenham secara pinjaman dari Real Madrid.

Bagaimanapun kapten Wales itu sudah menunjukkan prestasi sebenar selepas menyinar ketika bertemu Wolfsberger di Liga Europa.

Dia mungkin akan diturunkan pada aksi Liga Perdana bertemu Burnley esok selepas pengurus Tottenham, Mourinho berkata Bale mempamerkan aksi terbaiknya.

Bale melalui tempoh sukar di Madrid yang menyaksikannya memenangi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali tetapi tidak dapat memikat hati jurulatih, Zinedine Zidane.

"Saya rasa kekuatan mental sering berkaitan dengan fizikal. Jika pemain itu berasa sangat bagus dan dapat beri fokus 100 peratus, bermakna dia tidak berdepan masalah psikologi, ketakutan atau halangan tertentu.

"Apabila anda berasa bimbang terutama apabila mempunyai sejarah mengalami kecederaan, adalah normal merasai ketakutan dan ia sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pemain.

"Tapi sejak kebelakangan ini Bale mempamerkan aksi cemerlang. Persoalan hanyalah berapa minit dia boleh beraksi dan berapa hari dia mampu pulih antara setiap perlawanan itu. Dia nampak lebih gembira berbanding sebelumnya," kata Mourinho.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 9:16am
d