Bola Sepak

PDRM FC diam-diam ubi berisi

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kegagalan meraih sebarang kemenangan pada musim lalu selain tersingkir dari Liga Super antara kenangan pahit yang mahu dilupakan segera PDRM FC serta berharap perjalanan yang lebih baik di Liga Perdana musim ini.

Di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris, PDRM seperti 'diam-diam ubi berisi' apabila turut membuat persiapan jitu dengan melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan.

Antaranya dua pemain import yang sudah tidak asing dengan kancah Liga Malaysia, Bruno Suzuki dan Lazarus Kaimbi yang akan menjadi taruhan PDRM di jentera serangan.

Selain itu, kehadiran dua pemain dari benua Afrika, Victor Kamhuka (Zimbabwe) dan Alexander Amposah (Ghana), dijangka akan menambah kualiti tersendiri di bahagian tengah serta pertahanan.

Menurut Mat Zan, beliau tidak kisah dengan perhatian yang kurang diberikan oleh kebanyakan pemerhati kepada PDRM kerana lebih selesa bekerja dalam situasi sebegitu dan kurang berikan tekanan kepada pemain.

"Sebagai jurulatih baharu, sudah tentu saya ada hasrat tersendiri buat PDRM selepas apa dilalui pasukan ini pada musim lalu dan mahu membina balik reputasi PDRM dalam pentas Liga Perdana.

"Berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan yang kami lalui seperti tewas 0-1 kepada Selangor, saya nampak pemain sudah boleh menerapkan taktikal yang saya mahukan selain persefahaman yang begitu baik.

"Saya rasa tiada apa yang mustahil untuk membawa PDRM dalam kelompok atasan malah berikan cabaran kepada kejuaraan Liga Perdana walaupun barisan pemain kali ini ramai bersandar bakat dan mereka yang sanggup bekerja keras untuk pasukan," katanya.

Beberapa pemain tempatan baharu yang menyertai PDRM musim ini ialah Shahrul Igwan Samsudin (UiTM FC), Nabil Ahmad Latpi (Kuala Lumpur), Afiq Azuan (Kelantan) dan L Kalaiharasan (UKM FC).

Pemain-pemain yang terdiri daripada anggota PDRM seperti Safiee Ahmad, Ahmad Nizam Mohd Rodzi, Amir Saiful Badeli, Muhd Eskandar Ismail dan Aliff Naquiddin antara muka lama yang terus mendapat kepercayaan bersama pasukan.

PDRM yang akan terus menjadikan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah bakal membuka cabaran berdepan Selangor FC II pada 6 Mac.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 6:15pm
d