Bola Sepak

Demi cinta kepada bola sepak Afandi bertanding

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Perasaan cinta terhadap bola sepak mendorong bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah untuk kembali mengintai peluang menabur bakti bersama badan induk bola sepak negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu berkata keputusan untuk bertanding jawatan naib presiden FAM menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres FAM kali ke-57 adalah berdasarkan minat mendalamnya terhadap arena bola sepak tempatan.

Jelasnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan perwakilan dalam menentukan keputusan pada kongres yang dijadual berlangsung pada 13 Mac depan.

"Saya menerima pengesahan daripada sekretariat FAM menyatakan saya tersenarai sebagai salah seorang calon untuk jawatan naib presiden dan saya juga nyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan tersebut.

"Jika saya diberi kesempatan oleh perwakilan untuk mengisi salah satu daripada empat jawatan itu sudah tentu saya akan turut sama merealisasikan setiap perancangan yang khususnya sedang dibawa oleh kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden FAM," katanya kepada Bernama, hari ini.

Afandi berkata beliau sedia memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu setiap perancangan FAM yang sedang diatur dalam melaksana visi dan misi membawa bola sepak negara ke tahap lebih baik seperti diimpikan.

Berdasarkan senarai 27 calon layak bertanding dalam pemilihan bagi penggal 2021-2025 dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan FAM hari ini, empat lagi nama dicalonkan bagi merebut empat kerusi naib presiden adalah Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Posa Majais, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Mohd Firdaus Mohamed.

Dua daripada empat nama itu, Rosmadi dan Mohd Joehari adalah penyandang jawatan, sementara Posa adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak manakala Mohd Firdaus selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM.

"Bagi saya kesemua calon adalah individu mempunyai keistimewaan dan kehebatan masing-masing dan mereka juga daripada keluarga bola sepak negara yang sememangnya mencintai bola sepak.

"Tetapi hanya empat jawatan boleh diisi jadi kita serahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian siapa yang boleh memikul tanggungjawab jawatan," kata Afandi.

Sebelum ini, Afandi yang pernah menjadi pemangku presiden FAM gagal mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden dalam pemilihan Kongres FAM kali ke-53 pada 2017.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 10:27pm
d