Bola Sepak

Barcelona kejar Atletico

Oleh AFP

Seville: Barcelona menghidupkan peluang merebut kejuaraan liga selepas Lionel Messi dan Ousmane Dembele menjaringkan gol ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Sevilla.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan mereka hanya ketinggalan dua mata berbanding pendahulu liga, Atletico Madrid.

Atletico masih berbaki dua perlawanan namun prestasi menurun mereka membuka peluang kepada lawan untuk merapatkan jurang.

Barca tampak tidak menyerlah beberapa minggu lalu tetapi kini mereka sudah melakar sembilan kemenangan daripada 10 aksi La Liga sekali gus kembali di landasan tepat untuk merebut kejuaraan.

"Kami berdepan waktu sukar dan kini kami bangkit semula," kata pertahanan Barcelona, Gerard Pique.

"Sudah pasti saingan bagi merebut kejuaraan liga masih terbuka luas. Pasukan ini mempamerkan tahap keyakinan dan keinginan yang tinggi."

Sevilla memegang reputasi selaku pasukan paling menyinar pada perlawanan itu apabila memenangi kesemua enam perlawanan terakhir liga dengan lima daripadanya tidak melepaskan gol.

Bagaimanapun mereka gagal mempamerkan aksi terbaik, sebaliknya Barcelona mendominasi hampir keseluruhan permainan.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 9:34am
d