Bola Sepak

RM564.5 juta harga Haaland

Oleh Agensi

London: Hubungan tegang Pep Guardiola dengan ejen terkenal, Mino Raiola tidak akan menghentikan Manchester City daripada menyertai seteru utama, Manchester United untuk mendapatkan tandatangan Erling Haaland dengan nilai perpindahan £100 juta (RM564.5 juta).

City meletakkan Haaland dalam senarai utama untuk dibeli malah kelab itu juga mendahului pasukan lain dalam usaha menyambar Lionel Messi jika bintang Argentina itu tidak berminat lagi bersama Barcelona.

Haaland, 20, dilihat akan dijual pada harga yang cukup tinggi oleh Borussia Dortmund hujung musim ini.

Sumber di Etihad berkata: "Terdapat perbincangan dengan Mino Raiola sebelum ini dan jika mewakili pemain yang kami minati, maka tidak timbul sebarang isu.

"Perkara sama berlaku beberapa tahun lalu apabila terdapat pandangan berbeza antara Pep dan ejen Yaya Toure, Dimitri Seluk.

"Mereka tidak menghalang Yaya daripada melanjutkan kontrak baharu untuk kekal bersama kelab itu.

"Isu peribadi tidak menjadi penghalang kepada kelab untuk melakukan yang terbaik."

Guardiola kini sedang memburu empat trofi utama tanpa menyedari beliau tidak mempunyai penyerang berkaliber pada musim ini.

Sergio Aguero kembali cergas selepas lapan bulan berehat akibat kecederaan kaki.

Kontrak bintang Argentina itu akan berakhir pada hujung musim ini dan difahamkan City mahu pemain berusia 32 tahun itu membuktikan bahawa dia tidak lagi berdepan masalah kecederaan panjang sebelum menawarkan lanjutan kontrak baharu kepadanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 12:27pm
d