Bola Sepak

Pelan 10 tahun MUSA

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) bakal menganjurkan Melaka League Junior (MJL) membabitkan kategori usia bawah 8,10, 12, 14 serta 16 tahun dalam usaha mencungkil bakat akar umbi.

Naib Presiden MUSA, Noor Azman Rahman berkata, penganjuran MJL turut membabitkan kerjasama Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang menjadi sekolah angkat menerusi penyertaan jurulatih bertauliah.

Beliau berkata, kejohanan berkenaan turut mensasarkan sekurang-kurangnya tempoh lima tahun bagi melihat hasilnya kerana ia memerlukan masa matang yang mencukupi untuk membentuk pelapis berwibawa.

Menurutnya, kejohanan berkenaan sebahagian peta hala tuju 10 tahun pembangunan bola sepak Melaka dalam melahirkan lebih pemain berbakat di negara ini.

Katanya, peta hala tuju terbabit bakal dilancarkan Jun depan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Justeru, ianya memerlukan pelan 10 tahun untuk memperkasa sukan bola sepak di negeri berkenaan, dengan pemain berbakat besar akan diberi keutamaan untuk menandatangani kontrak dengan persatuan terbabit.

"Dengan kontrak berkenaan ia bakal mengelak mereka di pancing pasukan lain di negara ini. Malah dengan perjanjian yang ada pemain berkenaan akan disalurkan kepada Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC) mahupun pasukan sendiri kelak.

"Berikutan itu kita tidak perlu mengambil pemain luar yang perlu dibayar sehingga RM20,000 hingga RM30,000 sebulan. Pelan jangka panjang ini juga antara usaha proaktif untuk menjimatkan perbelanjaan persatuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan MUSA yang berlangsung di Ayer Keroh semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Kejurulatihan, Leong Hong Seng, Timbalan Pengerusi Belia, Rashid Mamud, Timbalan Pengerusi Akar Umbi, Norizam Ali Hassan, wakil Jabatan Pendidikan Negeri, wakil Jabatan Belia dan Sukan Negeri , wakil Majlis Sukan Negeri, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Sehubungan itu, beliau yakin sokongan semua pihak termasuk ahli gabungan bola sepak MUSA bakal merealisasikan pelan berkenaan dengan berkesan.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 8:41pm
d