Bola Sepak

MFL pinda tarikh perlawanan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pindaan jadual Liga Perdana 2021 susulan permohonan pertukaran venue oleh Sarawak United FC dan Kuching City FC diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

MFL dalam satu kenyataan rasmi hari ini memaklumkan, Sarawak United FC yang sebelum ini mendaftarkan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai venue tuan rumah mereka memohon untuk bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka dan dipersetujui oleh Melaka United FC serta Perbadanan Stadium Melaka.

Oleh demikian, MFL meminda perlawanan Liga Perdana 2021 bilangan 2 membabitkan Sarawak United FC menentang Kelantan United FC pada Ahad ini.

Pindaan ini dibuat kerana pada tarikh itu, Stadium Hang Jebat digunakan bagi perlawanan Liga Super membabitkan Melaka United FC menentang Sabah FC.

Selain itu, pindaan seterusnya membabitkan perlawanan antara Perak FC II melawan Sarawak United FC yang sepatutnya dimainkan pada Selasa 9 Mac dipinda pada Rabu iaitu 10 Mac depan.

Aksi Sarawak United FC menentang Terengganu FC II yang sepatutnya dimainkan pada Sabtu, 20 Mac turut dipinda pada Ahad, 21 Mac.

Dalam pada itu, perlawanan membabitkan Kuching City FC juga turut dipinda susulan pertukaran venue kelab Liga Perdana itu.

Berikutan peningkatan kes wabak Covid-19 di Sarawak, kerajaan negeri mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap mana-mana individu yang memasuki negeri itu hendaklah dikuarantin selama 14 hari.

Sehubungan itu, Kuching City FC memohon supaya dua perlawanan pertama dimainkan di venue tempat lawan selaku pasukan pelawat.

Ahli Lembaga Pengarah MFL dan pasukan-pasukan terbabit bersetuju untuk meluluskan permohonan Kuching City FC.

Kuching City FC turut memohon supaya Stadium Likas, Kota Kinabalu sebagai venue tuan rumah pasukan bagi baki perlawanan seterusnya.

Pertukaran venue Kuching City FC ini menyaksikan perlawanan membabitkan Terengganu FC II dengan Kuching City FC yang sepatutnya dimainkan pada hari Selasa, 9 Mac di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dipinda pada Rabu 10 Mac.

Pindaan ini dibuat kerana pada tarikh terbabit perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC melawan pasukan Selangor FC berlangsung.

Kuching City FC yang pada asalnya akan beraksi di gelanggang sendiri pada Selasa 16 Mac akan bertandang ke Stadium Hang Jebat, menentang Sarawak United FC.

Sementara itu, perlawanan Liga Perdana yang sepatutnya dimainkan pada 17 April di antara Kuching City FC dengan Selangor FC 2 dipinda pada Ahad 18 April di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 10:21pm
d