Bola Sepak

SAFA pinda beberapa perlembagaan

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Kongres Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang berlangsung baru-baru ini, meluluskan beberapa pindaan dalam perlembagaan persatuan berkenaan.

Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat, berkata, pindaan yang dibuat berkenaan sesuai dengan perkembangan semasa persatuan itu.

Katanya, antara pindaan yang diluluskan ialah Artikel 22 (4) bagi membolehkan jawatankuasa eksekutif, setiausaha agung dan bendahari yang mengambil bahagian dalam kongres mempunyai hak untuk mengundi.

"Selain itu, undian oleh jawatankuasa eksekutif, setiausaha agung dan bendahari hendaklah disifatkan sebagai undi oleh ahli yang hadir dan layak mengundi.

"Sebelum ini, jawatankuasa eksekutif, setiausaha agung dan bendahari yang hadir dalam kongres tiada hak mengundi dan selain itu, semasa memegang jawatan, ahli jawatankuasa juga tidak boleh dilantik sebagai perwakilan bagi mana-mana ahli," katanya.

Benedict berkata, peguam persatuan turut memberi pandangan dan nasihat bagi pindaan perlembagaan itu dan ianya kemudian diluluskan semua wakil gabungan.

Kongres Tahunan SAFA bagi 2020 sepatutnya diadakan tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sebaik mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan, pindaan dalam perlembagaan itu boleh digunapakai dalam Kongres Pemilihan SAFA tahun depan.

"Sehingga kini, SAFA mempunyai 26 gabungan daerah dari seluruh negeri tetapi tiga daripadanya telah menerima penggantungan kerana gagal menghantar laporan kepada Pesuruhjaya Sukan.

"Bagaimanapun, SAFA negeri akan meminta gabungan yang tidak aktif itu supaya berusaha untuk membolehkan mereka dapat 'dihidupkan' semula dan dapat bergerak aktif semula seperti gabungan yang lain," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 6:37pm
d