Bola Sepak

Juve sedia runtuhkan tembok Milan

Oleh AFP

Milan: Juventus mencerahkan peluang mereka untuk merangkul kejuaraan Serie A 10 kali berturut-turut selepas mereka berjaya menumpaskan pasukan yang sedang bergelut Spezia 3-0 untuk merapatkan kedudukan tujuh mata di belakang' pendahulu, Inter Milan

Pasukan bimbingan Andrea Pirlo itu dikecewakan dalam tempoh yang lama namun gol pada separuh masa kedua melalui Alvaro Morata, Federico Chiesa dan Cristiano Ronaldo membolehkan mereka mencatat kemenangan penting.

Juve ketinggalan tiga mata di belakang pasukan tempat kedua, AC Milan, yang akan berdepan Udinese awal pagi esok.

"Jurang dari segi pungutan mata yang memisahkan kami. Kami tahu ia akan berlaku adegan kejar-mengejar yang panjang.

"Inter sudah bermain bersama dalam tempoh dua tahun, mereka sudah cukup mengenali antara satu sama lain. Sedangkan kami baru bermula musim ini. Kami tetap mahu berada di kedudukan yang betul pada hujung saingan," kata jurulatih Juventus, Pirlo.

Gergasi Turin itu memenangi sembilan aksi terakhir liga namun mereka harus menafikan salah satu daripada dua kelab Milan itu yang cuba untuk mengakhiri saingan musim ini dengan kejayaan.

"Kami sedang bekerja untuk menang, jika kami tidak juara musim ini, kami terpaksa mengucapkan tahniah kepada mereka yang bergelar juara. Bagaimanapun, selagi masih ada peluang secara matematik, kami akan memberikan persembahan sepenuh jiwa dan raga kami," kata Morata.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 8:33am
d