Bola Sepak

RM9.85 bilion melayang angkara pandemik

Oleh AFP

Madrid: Pasukan di dua liga utama Sepanyol mengalami kerugian pendapatan berjumlah €2.013 bilion (RM9.85 bilion) bagi musim 2019-20 dan 2020-21 akibat impak pandemik Covid-19.

"Walaupun kurang dua bilion dalam pendapatan, jumlah yang besar, kelab-kelab masih mampu menanganinya," kata Presiden La Liga, Javier Tebas.

Bagi kempen 2019-20, kelab-kelab berkenaan dilaporkan meraih pendapatan €4.8 bilion (RM23.52 bilion), kurang €366 juta (RM1.79 bilion) berbanding jangkaan €5.167 bilion (RM25.32 bilion).

Bagi musim yang sedang berlangsung, dianggarkan kerugian €1.647 bilion euro (RM8.08 bilion) berdasarkan jangkaan awal €5.269 bilion (RM25.82 bilion), mewakili kerugian 31 peratus untuk dua liga tertinggi Sepanyol itu.

Bagaimanapun, rata-rata pasukan bertindak mengurangkan kos masing-masing sepanjang dua musim lalu, sekali gus mampu menyerap kerugian menjelang musim seterusnya.

"Hutang ini akan dilunaskan menjelang tiga hingga lima musim akan datang, jadi impak Covid-19 akan diimbangi pada kadar €150-250 juta (RM735 juta - RM1.22 bilion) setiap musim," kata pengarah urusan La Liga Jose Guerra.

Dalam pada itu, Tebas menegaskan, di sebalik kerugian kelab di Sepanyol, masalah pembayaran gaji tidak timbul berbanding di liga utama lain.

"Liga lain mempunyai masalah membayar gaji. Di Itali, di Perancis dan di Liga Perdana Inggeris, beberapa kelab memohon bantuan kerajaan, kami tidak," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 11:30am
d