Bola Sepak

United sekadar seri tanpa jaringan

Oleh AFP

London: Manchester United sekali lagi gagal mencipta kemenangan sekali gus mampu mendatangkan ancaman buat mereka untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan selepas seri tanpa jaringan ketika menentang Crystal Palace sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Selhurst Park itu menyaksikan United buntu untuk mencari gol selepas mereka setakat ini mencatatkan enam keputusan seri tanpa jaringan daripada 27 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tiga kali berturut-turut dalam semua kejohanan.

Satu mata yang diraih menyaksikan pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer memiliki kelebihan mengatasi Leicester untuk menduduki tempat kedua namun jurang dengan pendahulu liga, Manchester City sekarang ini ialah 14 mata tatkala kedua-dua pasukan akan bertembung sesama sendiri Isnin depan.

Sasaran United ketika ini adalah cuba untuk mengekalkan kedudukan empat terbaik selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam lapan aksi terakhir liga berbeza dengan City yang memecahkan rekod 21 kemenangan berturut-turut sekali gus seakan menamatkan perlumbaan kejuaraan.

Leicester perlu berterima kasih kepada Kelechi Iheanacho yang menjaringkan gol penyamaan selepas Burnley membuka jaringan seawal minit keempat melalui Matej Vydra.

Dalam satu lagi perlawanan Sheffield United berjaya mengalahkan Aston Villa dengan gol kemenangan disumbangkan Phil Jagielka pada minit ke-57.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 8:15am
d