Bola Sepak

Kehadiran penonton dibenarkan jika kes Covid-19 menurun - PM [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen kehadiran semula penonton ke stadium akan dibenarkan jika kes pandemik Covid-19 menunjukkan penurunan selepas ini.

Katanya, beliau memahami kehendak peminat yang mahu bersama-sama memberi sokongan terhadap pasukan diminati dalam setiap perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung.

Bagaimanapun, buat permulaan kemasukan penonton akan dibuat dengan jumlah yang kecil sebelum membenarkan mengikut kapasiti tempat duduk sesebuah venue.

"Mungkin juga di masa akan datang apabila keadaan mengizinkan, maka kita bolehlah membenarkan kehadiran penonton di stadium secara berskala kecil ataupun berperingkat-peringkat kalau kes Covid-19 ini dapat kita turunkan.

"Ini bagi saya amat penting supaya sukan bola sepak antara sukan nombor satu di negara kita ini, kembali semula gemilang dan penonton akan dapat lebih terbabit bersama-sama meraya dan meraikan permainan bola sepak yang semuanya menjadi satu kebanggaan kepada kita semua," katanya dalam satu hantaran video buat semua pasukan Liga-M yang akan bersaing bagi musim baharu 2021 bermula malam esok.

Dalam video itu juga, Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang akan berentap dalam aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di mana selain memburu tiga mata, kedua-duanya turut bersaing untuk merebut Piala Sumbangsih.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan Kedah dan JDT untuk perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah yang juga Piala Sumbangsih yang saya diberi tahu akan berlangsung 5 Mac (malam esok) yang akan datang ini.

"Saya juga nak mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang akan terbabit dalam Liga Super dan Liga Perdana yang akan bermula Sabtu ini," katanya.

Saingan Liga-M yang sepatutnya dimulakan pada 26 Februari terpaksa ditunda ke 5 Mac ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Kerajaan diseluruh negara sebelum ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 5:36pm
d