Bola Sepak

Pemilik Valencia enggan jual kelab

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Presiden Valencia, Anil Murthy mendedahkan pemilik kelab itu dari Singapura, Peter Lim tidak bercadang menjual pasukan berkenaan walaupun Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunjukkan minat untuk membeli.

"Rakan sekerja saya memberitahu mengenai kenyataan TMJ di laman Instagram. Saya sudah berbincang bersama Peter Lim dan beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual kelab ini," kata Anil kepada media Sepanyol.

Sementara itu, rata-rata penyokong Valencia mengalu-alukan kehadiran Tunku Ismail ke Stadium Mestalla sebagai pemilik baharu kelab LaLiga itu.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini meluahkan hasrat untuk membeli Valencia daripada ahli perniagaan terkenal Singapura, Peter Lim.

Keinginan beliau yang diluahkan menerusi Instagramnya nyata menarik perhatian ribuan penyokong skuad The Bats itu yang kemudiannya menyerbu laman sosial Tunku Ismail untuk menyatakan sokongan kepada beliau.

Malah, media Sepanyol turut melaporkan secara meluas mengenai Tunku Ismail termasuk mendominasi tajuk utama di bahagian sukan dada akhbar tempatan negara itu.

Sambutan luar biasa itu dapat dilihat di ruangan komen akaun Twitter milik Tunku Ismail yang mahukan beliau membuat perubahan kepada pasukan kesayangan mereka.

"Bawa kembali kegemilangan kepada pasukan kami," tulis Silvismo dengan emoji tangisan dan tanda hormat.

Selain itu, ada juga penyokong mendesak TMJ memecat Anil Murthy sekiranya beliau membeli pasukan itu.

"Sila datang ke Valencia secepat mungkin dan buang Anil Murthy, tolong," kata Vito Andolini.

Sebelum ini, Tunku Ismail membayangkan untuk membeli kelab itu yang dianggarkan bernilai 408 juta euro atau bersamaan RM1.99 bilion.

Untuk rekod, ketika ini Valencia menduduki kedudukan ke-14 liga selepas melalui 25 perlawanan dengan 27 mata dan hanya dibezakan dengan lima mata daripada zon penyingkiran.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 9:25pm
d