Bola Sepak

Bilbao sedia cipta sejarah

Oleh AFP

Madrid: Athletic Bilbao mampu memenangi dua trofi Copa del Rey dalam tempoh dua minggu selepas mereka mengalahkan Levente dengan agregat 3-2 untuk mara ke perlawanan akhir berdepan Barcelona.

Bilbao menang 2-1 selepas perlawanan diheret ke masa tambahan dan mereka akan beraksi menentang Barca pada 17 April di La Cartuja, sejurus selepas menentang Real Sociedad dalam perlawanan akhir Copa del Rey yang ditangguhkan musim lalu di gelanggang sama pada 3 April.

Ia adalah kali keempat dalam tempoh seabad Athletic Bilbao dan Barcelona akan beraksi dalam saingan akhir piala domestik, dengan kelab Catalan itu memenangi kesemua perlawanan pada 2009, 2012 dan 2015.

Barcelona sudah tentu akan melebarkan lagi rekod mencari kejuaraan ke-31 Copa del Rey di Seville, manakala Athletic Bilbao akan memburu kejuaraan kali ke-24 atau mungkin ke-25.

Bilbao melakukan perubahan sejak kehadiran jurulatih baru, Marcelino Januari lalu dengan menyaksikan mereka muncul juara Piala Super Sepanyol pada bulan yang sama selepas melakukan kejutan menang ke atas Barcelona dan Real Madrid.

Marcelino juga pernah membimbing Valencia mencatat kejayaan ke atas Barca dalam perlawanan akhir Copa del Rey 2019, ini bermakna dia mempunyai peluang untuk menjadi jurulatih yang membawa pasukan muncul juara tiga kali berturut-turut.

Levente sudah pun menumpaskan Real Madrid dan Atletico Madrid musim ini dalam saingan La Liga dan mereka memulakan aksi cemerlang pada perlawanan kedua separuh akhir apabila Roger Marti melakukan penyudah yang berpunca dari sepakan sudut pada minit ke-17.

Bagaimanapun, Raul Garcia berjaya menyamakan kedudukan buat Bilbao melalui sepakan penalti selepas dijatuhkan Oscar Duarte sebelum Alex Berenguer menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.

Disiarkan pada: March 5, 2021 @ 10:02am
d