Bola Sepak

Mora lega piala kekal di Johor [METROTV]

Oleh Rizar Mohd Noor

Iskandar Puteri: "Bukan mudah untuk tewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang memiliki kekuatan tersendiri,"

Itu kata pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora yang mengakui barisan pemainnya berdepan tugas berat sebelum mencipta kemenangan 2-0 pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah, di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Katanya, skuad Lang Merah membariskan dua penyerang import, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang dianggap mampu beri tekanan di benteng pertahanan JDT dan bijak menghidu peluang untuk mencemaskan gawang JDT.

"Tapi kami membuat persiapan yang rapi dan turun dengan pemain yang lebih tersusun dan setiap pemain tahu tugas yang harus mereka lakukan malah kurang membuat kesilapan yang membolehkan pasukan lawan ambil kesempatan.

"Kami tidak bernasib baik apabila gagal menjaringkan gol awal selepas percubaan Leandro (Velazquez) dan Gonzalo (Cabrera) terkena palang gol dan ia cetus lebih keyakinan kepada pemain untuk terus beri tekanan dan hasilnya gol yang cari terhasil pada babak pertama.

"Dalam aksi itu, formasi KDA FC juga berubah apabila turun bukan dengan formasi 4-4-2, sebaliknya mereka beraksi dengan corak 4-2-3-1 dan kemudian berubah formasi ke 4-1-2-3 apabila pemain nombor 8 (Rabih Ataya) bergerak di posisi sayap dan tengah," katanya.

Pengendali dari Mexico itu menegaskan, barisan pemainnya tidak beraksi dengan corak permainan yang ampuh namun tetap optimis pemain skuad Harimau Selatan akan kembali konsisten selepas hanya membuat persiapan singkat menghadapi musim baharu kempen Liga Malaysia (Liga M).

"Saya akui kami belum berada di tahap 100 peratus namun kemenangan pertama dan mengekalkan piala berkenaan empat musim berturut-turut permulaan yang cukup membanggakan. Malah ia akan beri motivasi tinggi setiap pemain.

"Senario itu lumrah pada aksi pertama dan momentum akan meningkat dalam setiap perlawanan yang diharungi dan saya percaya pemain akan mula dahagakan kemenangan kerana mereka tahu tugas yang perlu dipikul bersama JDT," kata Mora.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 12:08pm
d