Bola Sepak

Pantau pemain

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) yang membuka tirai minggu ini jelas menggembirakan pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe dalam usaha mengintai beberapa muka baharu untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Cheng Hoe berkata, barisan kejurulatihan akan memantau prestasi pemain Harimau Malaya bersama pasukan masing-masing selain turut akan memanggil muka baharu yang mempamerkan prestasi cemerlang.

Beliau berkata, pemain Liga M yang menyinar atau menunjukkan prestasi cemerlang mempunyai peluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya berikutan senarai akhir barisan pemain kebangsaan masih lagi belum dimuktamadkan.

"Bermulanya saingan Liga M sebenarnya boleh dikatakan berita baik kepada skuad Harimau Malaya yang sebelum ini tidak dapat menjalani latihan berikutan pandemik Covid-19.

"Saya mengharapkan barisan pemain Harimau Malaya sebelum ini dapat meningkatkan lagi prestasi mereka dan menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

"Kita perlu lebih bersiap sedia berikutan pasukan lawan sudah melakukan persiapan sejak penghujung tahun lalu, sekali gus bakal memberi tentangan sengit untuk masing-masing layak ke pusingan seterusnya," katanya.

Selain itu, Cheng Hoe berkata, tanpa latihan sistematik dan pertandingan kompetitif membabitkan barisan pemain Harimau Malaya mencetuskan kebimbangan anak buahnya akan dibelenggu kecederaan serius apabila beraksi bersama kelab masing-masing.

"Sudah pastinya jika sudah lama tidak beraksi pada saingan kompetitif akan menyebabkan pemain dibelenggu kecederaan seterusnya menjejaskan persediaan skuad Harimau Malaya.

"Ketika ini, kita mahu memastikan semua tonggak Harimau Malaya tidak berhadapan masalah kecederaan supaya boleh menurunkan barisan terkuat pada perlawanan Jun nanti," katanya.

Malaysia yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sepatutnya turun beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam hujung bulan ini, serta Thailand pada Jun nanti.

Bagaimanapun, kempen terbabit terpaksa ditangguhkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas majoriti negara bertanding termasuk dari Kumpulan G bersetuju menundanya hingga Jun ini.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 7:01am
d