Bola Sepak

Klopp perlukan 'karya agung' pulihkan Liverpool

Oleh AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata beliau memerlukan 'karya agung' untuk memikirkan bagaimana menyelesaikan krisis skuad bimbingannya selepas mengalami kekalahan kali keenam berturut-turut di tempat sendiri berikutan tewas 0-1 kepada Fulham di Anfield, semalam.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tersungkur daripada kedudukan pendahulu pada Disember tahun lalu dan terbaru kemungkinan terlepas untuk layak beraksi di Liga Juara-Juara pada musim depan.

Liverpool kini menduduki tempat ketujuh, kurang empat mata berbanding pasukan empat teratas dan sudah beraksi lebih banyak berbanding seteru utama mereka untuk perebutan tiket ke Liga Juara-Juara.

Krisis kecederaan menghantui Liverpool terutamanya membabitkan pertahanan utama, Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.

Bagaimanapun Klopp kini turut menjadi tumpuan selepas melakukan tujuh pertukaran berbanding ketika tewas 0-1 kepada Chelsea, Khamis lalu dan rombakan itu masih tidak berhasil mengubah nasib Liverpool.

"Kami tidak mempunyai momentum pada musim ini. Mereka masih mempunyai segala-galanya tetapi ketika ini gagal membuktikan kemampuan masing-masing.

"Saya memerlukan 'karya agung' untuk mencari jalan penyelesaian bagaimana kami dapat melakukan perubahan secepat mungkin," kata Klopp.

Peluang terbaik Liverpool untuk beraksi di Liga Juara-Juara pada musim depan adalah dengan memenangi saingan itu buat kali ketujuh pada musim ini.

Skuad bimbingan Klopp akan berkunjung ke Budapest untuk aksi kedua pusingan 16 terakhir bertemu Leipzig, Khamis ini selepas mendahului 2-0 pada perlawanan pertama.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 8:40am
d