Bola Sepak

Jaringan 'sambil duduk' motivasi untuk Sherman

Oleh Izzali

Alor Setar: Penyerang prolifik Kedah Kpah Sherman kini semakin meningkatkan momentum ketajamannya selepas jaringan 'sambil duduk' yang dihasilkannya berjaya membantu Kedah mengutip satu mata melalui aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semalam.

Dalam aksi yang berkesudahan dengan seri 1-1 itu, penyerang kelahiran Liberia ini turut mengakui dia dan pasukan tidak mahu mudah menyerah kalah dan pulang dengan tangan kosong walaupun rintangan beraksi dalam keadaan padang basah dan becak selepas hujan.

"Bukan perkara mudah apabila kami terpaksa beraksi dalam keadaan padang basah dan becak tambahan pula ketinggalan satu gol di awal babak perlawanan dan saya nekad terus berjuang serta tidak menganggap perkara itu sebagai penghalang utama.

"Namun bekalan semangat tinggi yang ada dalam pasukan dengan sokongan padu semua pihak sebelum beraksi, kami terus cuba dan mencuba dengan bekerja keras memburu gol hingga ke hujung minit akhir perlawanan.

"Walaupun sekadar seri dengan gol tercipta cuma pada minit ke-86, namun itu cukup untuk memberi motivasi yang terbaik buat saya dan pasukan untuk melangkah ke perlawanan seterusnya bertemu PJ City FC pada 17 Mac ini dengan penuh semangat." katanya.

Sherman juga sebelum ini membuktikan bisanya apabila menyumbang satu gol menerusi larian pantas menewaskan pertahanan dan penjaga gol ketika aksi menentang Sabah di Stadium Darul Aman selasa lalu.

"Gol sulung dan tiga mata pertama buat Kedah yang diperoleh pada perlawanan lalu juga membuatkan bekalan semangat untuk saya bertambah yakin untuk terus menyumbang gol dan saya bersyukur dapat melakukannya sekali lagi pada perlawanan menentang Penang FC ini.

"Kombinasi saya, Kipre Tchetche dan barisan serangan lain juga kini akan terus dipertingkatkan demi kejayaan seterusnya yang dirancang KDA FC." katanya.

Sebagai penjaring utama KDA FC, dia kini merekodkan jumlah dua gol buat skuad Hijau Kuning, manakala rakan seperjuangannya Tchetche pula dengan sumbangan satu gol melalui tiga perlawanan setakat ini.

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 3:31pm
d