Bola Sepak

Lapan kerusi FAM berubah [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Putrajaya: Lapan jawatan dalam barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berubah di bawah kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin yang kekal menerajui organisasi itu bagi penggal 2021-2025.

Seperti yang dijangka lapan kerusi berkenaan membabitkan satu bagi kerusi Timbalan Presiden, dua kerusi Naib Presiden, empat kerusi Exco dan satu kerusi Exco Wanita pada kongres pemilihan yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Dua kerusi Timbalan Presiden menjadi milik penyandang, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan muka baharu, Datuk S Sivasundaram selepas kerusi itu tidak dicabar oleh mana-mana calon.

Bagi empat kerusi Naib Presiden, dua penyandang mengekalkan jawatan iaitu Datuk Seri Rosmadi Ismail (36 undi) dan Mohd Joehari Ayub(35 undi) sementara dua muka baharu adalah Mohd Firdaus Mohamed (32 undi) dan Datuk Posa Majais (30 undi).

Seorang lagi calon yang bertanding bagi Naib Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah terpaksa akur selepas menerima undian terendah iaitu 27 undi.

Bagi lapan kerusi Exco yang menampilkan 17 calon bertanding kali ini, empat penyandang terus mendapat kepercayaan ahli gabungan apabila berjaya mengekalkan jawatan bagi penggal 2021-2025.

Empat Exco terbabit adalah Datuk Jefferey Low Han Chau (34 undi), Datuk Hisamudin Yahya (28 undi), Chris Raj (25 undi) dan Dali Wahid (25 undi).

Empat muka baharu yang mengisi empat lagi kerusi Exco adalah Saaran Nadarajah (31 undi), Datuk Seri Shahril Mokhtar (25 undi), Datuk Adly Shah Mohd Tah (21 undi) serta Syed Yazid Syed Omar.

Syed Yazid memenangi undian kali kedua dengan 25 undi mengatasi penyandang, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang menerima 15 undi selepas kedua dua calon itu terikat dengan 19 undi pada pusingan pertama.

Exco Wanita pula menjadi milik Datuk Suraya Yaacob dan muka baharu, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah yang kedua duanya menang tanpa bertanding.

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 5:47pm
d