Bola Sepak

Sabah FC beri Kurniawan amaran keras

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pengurus Sabah Football Club (FC), Marzuki Nasir memberi amaran keras kepada Ketua Jurulatih pasukan itu, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi hambar mereka dalam saingan awal Liga Super.

Katanya, pihak pengurusan sangat kecewa dengan tiga kekalahan berturut-turut dialami Sabah FC dan pihaknya akan mengkaji semula prestasi pasukan dalam tiga perlawanan akan datang sekali gus memberi peluang kepada Kurniawan memperbaiki prestasi pasukan.

"Ini termasuk menilai semula dan mendapatkan input berkaitan prestasi pasukan di bawah bimbingannya selepas menerima kehadiran lima pemain import yang sudah beraksi bagi memperkuatkan barisan Sabah FC.

"Pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menilai semula tahap prestasi kejurulatihan sebelum mengambil sebarang keputusan demi kebaikan serta kepentingan dalam Sabah FC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Marzuki berkata, pihak pengurusan bagaimanapun terus komited dan yakin jurulatih dari Indonesia itu serta anak didiknya akan berada dalam prestasi sebenar mereka selepas ini.

"Saya meminta agar semua pihak tidak panik, pihak pengurusan akan terus komited serta yakin Kurniawan Dwi Yulianto dan anak -anak didiknya akan berada dalam prestasi sebenar mereka nanti.

"Semua pemain Sabah FC yang majoritinya anak tempatan akan dapat mengembalikan prestasi serta maruah pasukan Sabah FC ke tahap yang lebih baik untuk kekal bersaing dalam Liga Super Malaysia. Anda perlu yakin dengan Sabah FC," katanya.

Selepas empat perlawanan, skuad Badak kini berada di tangga kedua tercorot apabila hanya berjaya mengutip satu mata.

Sabah FC memulakan kempen Liga Super dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Melaka United namun mereka tewas dalam tiga aksi seterusnya selepas itu iaitu kepada Kedah (0-2) di Alor Setar, PJ City (0-1) di Likas dan Sri Pahang FC (1-2) di Kuantan.

Musim ini adalah musim kedua Kurniawan mengendalikan skuad Badak selepas hanya mampu menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan yang bertanding.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 5:56pm
d