Bola Sepak

Kurniawan enggan ulas, hanya mohon doa

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Super sehelum ini, pengendali Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto nampaknya enggan berkata banyak.

Ketika dihubungi, jurulatih daripada Indonesia itu hanya memohon supaya mendoakan pasukan itu mendapat keputusan baik dalam aksi seterusnya bertemu Terengganu FC di Stadium Likas, malam ini.

"Satu saja komen saya, mohon doanya dari semua untuk dapat hasil positif dan semua yang ada dalam pasukan sudah bertekad untuk bangkit kembali," katanya ringkas.

Skuad Badak sehingga kini bukan saja belum mencatat sebarang kemenangan malah turut mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

Mereka memulakan kempen musim ini dengan keputusan seri 1-1 bertemu Melaka United namun tewas dalam semua aksi seterusnya iaitu kepada Kedah (0-2), PJ City (0-1) dan Sri Pahang FC (1-2).

Berikutan keputusan kurang memberangsangkan yang dicatat Sabah FC itu, pengurus pasukan, Marzuki Nasir kemudian memberi amaran keras kepada Kurniawan agar segera bangkit.

Katanya, pihak pengurusan sangat kecewa dengan tiga kekalahan berturut-turut dialami Sabah FC dan pihaknya akan mengkaji semula prestasi pasukan dalam tiga perlawanan akan datang sekali gus memberi peluang kepada Kurniawan memperbaiki prestasi pasukan.

Bagaimanapun ia bukanlah tugas mudah buat Kurniawan kerana selepas bertemu TFC malam ini, pasukan itu berdepan dua lagi perlawanan sukar iaitu bertemu Kuala Lumpur pada 3 April dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 6 April.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 5:27pm
d