Bola Sepak

Kemenangan suntik semangat Sabah FC

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto berkata, kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas semalam menjadi satu suntikan semangat baharu buat pasukan itu untuk terus mencatat keputusan baik.

Katanya, kemenangan itu hadir tepat pada masanya lebih-lebih selepas kecundang dalam tiga aksi berturut-turut sebelum ini.

"Memang tidak dapat dinafikan kemenangan malam ini (semalam) menyuntik semangat pemain agar terus menyumbang mata kemenangan pada setiap perlawanan akan datang.

"Saya melihat semua pemain bermain pada tahap sebenar walaupun berdepan tekanan selepas tiga kekalahan berturut-turut termasuk kepada PJ City di gelanggang sendiri tempoh hari.

"Ternyata pemain mengetepikan tekanan lalu dan fokus kepada perlawanan sehingga menghasilkan kemenangan pertama yang sangat dinanti-nantikan oleh semua," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam aksi berkenaan, dua gol di babak pertama oleh pemain import Sabah FC, Levi Madinda dan Sam Johnson sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan pertama skuad Badak walaupun TFC berjaya merapatkan jurang menerusi Jordan Mintah di babak kedua.

Kurniawan berkata, kemenangan yang dicapai semalam bukanlah diperolehi dengan mudah, lebih-lebih lagi TFC adalah pasukan yang belum pernah tewas sebelum ini.

"Beberapa pemain kita juga dilihat mengalami kecederaan namun pemain sangat berdisiplin serta melaksanakan tanggungjawab mereka untuk beraksi cemerlang sekali gus mengutip tiga mata yang sangat berharga," katanya.

Sementara itu, jurulatih dari Indonesia itu berkata, beliau mempunyai masa yang panjang untuk memantapkan lagi pasukan susulan saingan Liga Super berehat selama 12 hari.

"Kita akan manfaatkan peluang yang ada ini untuk melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan yang akan datang," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2021 @ 2:42pm
d