Bola Sepak

FAM perlu tegas soal keganasan pengadil

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sikap biadap segelintir pemain import yang dilihat semakin tidak menghormati pengadil tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) harus diberi perhatian oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bermula dengan insiden pemain Kelantan FC, Jack Hindle menolak pengadil dalam aksi Liga Perdana ketika berdepan Perak FC II, awal bulan ini, semalam insiden sama berulang dengan kali ini membabitkan tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa.

Dalam aksi Liga Super antara JDT dan Perak FC di Stadium Perak semalam, Natxo didapati menolak pengadil selepas tiupan wisel penamat ditiupkan yang secara kebetulan tindakannya itu turut dirakam secara langsung di televisyen.

Jelas bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, tindakan Natxo itu sepatutnya dilayangkan kad merah di mana dalam undang-undang permainan jelas ia adalah salah di bawah kelakuan ganas.

Subkhiddin yang kini berperanan sebagai tenaga pengajar pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengakui malu dan kecewa dengan tindakan pemain import yang nyata tidak menghormati pengadil yang diadili oleh anak tempatan.

"Insiden Natxo ini sebenarnya ada kaitan dengan tindakan pemain Kelantan yang sebelum itu menolak pengadil juga.

Maksud saya, apabila sesuatu hukuman itu lambat dikenakan terhadap pemain oleh badan bola sepak, jadi pemain lain tak berasa takut untuk lakukan perkara sama.

"Apa yang dibuat oleh Natxo memang salah dan patutnya dikenakan kad merah kerana cuba berkelakuan ganas kepada pengadil.

Jika ada pengajaran untuk pemain lain, insiden sama takkan berulang dan sebab itu pelaksanaan hukuman kena tegas dan cepat.

"Maruah bola sepak kita dah hilang dan orang luar ketawakan melihat pemain import yang tak hormat pengadil," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya lagi, di atas padang semua pemain adalah sama dan tiadanya 'Raja' atau perbezaan kasta di mana hanya pengadil bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan perlawanan.

"Kita tak boleh ada dua darjat, kita kena layan adil sama ada pemain import ataupun tempatan. Ini keganasan terhadap pengadil tidak kiralah di luar perlawanan ataupun di dalam perlawanan.

"Kalau ikutkan peraturan Fifa, pemain yang berkelakuan seperti itu boleh digantung sehingga akhir musim. Persoalannya, adakah pemain ini akan digantung oleh FAM.

"Cuba kita semak balik insiden penjaga gol JDT, Farizal Marlias pada 2017 apabila AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) menggantung penjaga gol itu kerana menolak pengadil.

"Jadi kita (FAM) kena ambil tindakan sama dan jangan takut. Macam saya katakan tadi, tidak ada dua darjat dalam bola sepak. Kalau AFC boleh kenapa tidak FAM. Jangan sampai maruah bola sepak negara di malukan," katanya.

Untuk rekod, Farizal pernah menjalani hukuman penggantungan perlawanan selama 12 bulan kerana melanggar Perkara 47.1.2 dibaca dengan Perkara 49.1.2 dan Perkara 50.1 kod Kanun Tatatertib AFC.

Farizal didapati bersalah kerana menolak pengadil ketika aksi menentang Ceres Negros dalam perlawanan kedua pusingan separuh akhir zon Asean.

Disiarkan pada: March 22, 2021 @ 8:04pm
d