Bola Sepak

Usaha anjur semula Pestabola Merdeka

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas menyepi agak lama, kejohanan tertua Asia, Pestabola Merdeka dijangka kembali menggegarkan arena bola sepak benua ini apabila ia bakal 'dihidupkan' semula dengan beberapa perubahan format pertandingan akan dicadangkan selari dengan perkembangan bola sepak moden ketika kini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan Antarabangsa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, saingan yang mula dipertandingkan pada 1957 itu mempunyai nilai nostalgia yang tersendiri dan dekat dengan peminat bola sepak tempatan.

"Ada beberapa cadangan (anjurkan pertandingan antarabangsa) termasuk Pestabola Merdeka. Mungkin kita akan merevolusi pertandingan itu agar ia dilihat lebih segar dan mengikut peredaran zaman ketika ini.

"Bagi saya pertandingan seperti itu penting untuk beri pendedahan buat pemain tempatan meraih pengalaman berguna bermain dengan pasukan-pasukan luar. Tapi ia masih diperingkat cadangan dan kita akan cuba perhalusi dulu," katanya yang baharu dilantik memegang portfolio itu.

Selain itu, Firdaus mengakui satu bengkel perbincangan membabitkan penganjur pertandingan di Malaysia dan penggiat bola sepak tempatan.

Menurutnya, ia adalah salah satu misi penting bagi mendapat input dan idea baharu yang boleh digunakan untuk mentransform atau merevolusikan pertandingan domestik di bawah kelolaan FAM serta di peringkat negeri.

"Ini (Bengkel) adalah langkah pertama saya sebagai Pengerusi untuk memastikan perjalanan pertandingan tempatan berada pada tahap terbaik selain mengikut perkembangan semasa.

"Kita cadang untuk lakukan pada bulan Julai ini dan saya harap kita akan dapat mengumpul maklumat dan membuat penambah baikan demi meningkatkan mutu dan kualiti pertandingan tempatan khususnya di peringkat akar umbi," katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2021 @ 2:35pm
d