Bola Sepak

Firasat saya baik - Marco Ragini

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Pengendali TRW Kelantan FC, Margo Ragini yakin skuadnya mampu melakarkan kemenangan apabila turun berdepan Sarawak United FC, esok.

Ragini berkata, pasukannya akan cuba mempamerkan aksi dan kombinasi lebih baik selepas lima perlawanan dalam Liga Perdana, musim ini.

Katanya, walaupun terdapat beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan namun dia yakin anak buahnya sudah bersedia untuk 'menangkap' sang bedal.

"Kami perlu berani menghadapi sesiapa sahaja, kita menghormati setiap lawan namun kita tidak akan takut menghadapi mereka.

"Kami lebih yakin dengan perlawanan ini dan sejujurnya saya dapat rasakan perlawanan ini kami dapat keputusan yang baik (menang)," katanya.

Ragini berkata, faktor perlawanan di halaman sendiri turut menyuntik semangat pasukan untuk menampilkan aksi lebih baik sebagai hadiah buat peminat.

Ketua Jurulatih dari Itali itu berkata, sudah pasti seperti yang sering dia sebutkan tempoh masa yang singkat, dengan pengurusan yang baru, pemain baru dan pasukan baru, TRW Kelantan FC masih mencari rentak yang sesuai untuk menjadi pasukan terbaik.

"Bagaimanapun, minggu ini persediaan yang dibuat jauh lebih baik dan saya gembira kerana ketika sesi latihan, persefahaman antara pemain semakin baik.

"Jika mereka yakin dengan diri mereka, mereka (pemain) akan bermain dengan lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 2:57pm
d