Bola Sepak

'Tak mungkin sebulan dua boleh hebat'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: "Kita tidak mampu untuk lahirkan pemain hebat dalam tempoh satu atau dua bulan saja," Itu penjelasan pengendali skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN), Yusri Che Lah apabila anak buah terus 'konsisten' mencatat kekalahan keenam berturut-turut pada saingan Liga Premier baru-baru ini.

Menerusi rekod yang boleh dikatakan agak buruk dengan hanya empat jaringan dan 20 gol dibolosi serta tewas semua perlawanan sudah tentu Yusri menyedari banyak kritikan pedas terus dilemparkan kepada pasukan kendaliannya ketika ini.

Yusri berkata, sudah tentu mana-mana pengendali pasukan bola sepak mahukan kemenangan namun beliau menyedari dalam situasi sekarang agak sukar berbuat demikian dengan anak buahnya masih baharu dalam saingan kompetitif.

"Kita perlukan masa dan sudah tentu mana mampu melahirkan pemain hebat terus untuk tempoh sebulan dua. Pada masa sama, saya faham dengan kata-kata di luar, mereka tidak mahu kata-kata selamat namun kena faham kerana inilah pembangunan dalam bola sepak," katanya.

Terdahulu, Lim Teong Kim menerusi laporan Arena Metro berkata, definisi pembangunan bola sepak sebenar adalah untuk melahirkan pemain secara individu yang memiliki kekuatan mental dan karakter serta jati diri kuat berbanding tindakan FAM yang dilihat hanya mahu membina sebuah pasukan semata-mata.

Selain itu, Pengarah Teknikal Persatuan FAM Datuk Ong Kim Swee enggan mahu terus memberi kenyataan berkaitan isu berkenaan dan mahu semua pihak menunggu seterusnya melihat saja hasilnya pada hujung musim nanti.

Malah, Kim Swee tidak mahu terus melihat isu membabitkan skuad ubi muda itu terus menjadi 'bahan utama' untuk dihentam dan dipertikaikan oleh pihak tertentu sekali gus akan menjejaskan prestasi mereka ketika ini.

Kim Swee berkata, ketika ini terlalu awal untuk meletakkan 'hukuman' atau menghentam inisiatif berkenaan walaupun pasukan itu gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 11:11am
d