Bola Sepak

Dooley, Gamel 'turun pangkat'

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sri Pahang FC mengesahkan jurulatih import kelahiran Jerman, Thomas Dooley dan penolong, Christophe Gamel masih bersama kelab berkenaan.

Bagaimanapun, Dooley dan Gamel tidak akan melatih pasukan Sri Pahang sebaliknya, masing-masing dilantik sebagai penasihat pasukan dan ketua jurulatih bawah 21 tahun Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, dua jurulatih import itu diberi tugas baru dalam Sri Pahang terutama dari segi pembangunan pemain belia.

"Berdasarkan perbincangan, Sri Pahang bersetuju melantik Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Dooley manakala pengurus pasukan diambil alih oleh Datuk Che Nasir Salleh," katanya.

Pada 13 Mac lalu, Dooley dan Gamel direhatkan berikutan prestasi hambar dan dua kekalahan berturut-turut yang dialami Sri Pahang.

Berikutan itu, tugas sebagai pengendali diambil alih sementara oleh pengurus pasukan, Dollah.

Dua kekalahan dialami Sri Pahang ialah tewas 1-3 kepada Selangor FC di Petaling Jaya pada 6 Mac dan disusuli 0-2 kepada Perak FC di Stadium Darul Makmur, 10 Mac lalu.

Ditanya kemungkinan ada perubahan pemain sebaik jendela perpindahan pemain dibuka bulan depan, Mohammed Suffian berkata, kelab itu sedia menimbang penstrukuran dalam pasukan Sri Pahang.

Katanya, pertimbangan itu berdasarkan laporan daripada barisan kejurulatihan membabitkan prestasi pemain import dan tempatan.

"Selepas itu, pengurusan Sri Pahang akan membuat keputusan sama ada berlaku pertukaran pemain atau tidak," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 2:20pm
d