Bola Sepak

Penyokong Kelantan perlu tunggu lagi

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: Penyokong Kelantan perlu tunggu lebih lama lagi untuk melepaskan kerinduan melihat aksi bola sepak secara langsung apabila perlawanan di Stadium Muhammad IV masih tidak mendapat 'lampu hijau' kemasukan penonton.

Ini bermakna, perlawanan membabitkan tuan rumah iaitu Kelantan United FC dan Kelantan FC terpaksa berlangsung dalam suasana sepi berbanding pasukan lain yang sudah mendapat kebenaran berbuat demikian sejak awal April lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, Stadium Sultan Muhammad IV menjadi venue tunggal setakat ini yang tidak dibenarkan kehadiran penyokong tuan rumah.

Beliau berkata, larangan kemasukan itu berdasarkan kepada arahan kerajaan negeri selepas melihat peningkatan kes di Kota Bharu sekali gus mengelak tersebarnya pandemik Covid-19.

"Memang ada stadium tidak dibenarkan setakat ini Stadium Sultan Muhammad Ke IV tidak boleh ada penyokong. Prosedur Operasi Standard (SOP) itu adalah daripada kerajaan negeri kerana angka kes Covid-19 masih lagi tinggi," katanya, dalam sidang media selepas Majlis Sesi Mesra Media Bersama CEO MFL, hari ini.

Sementara itu, Ghani berkata, kejayaan dua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Baharu dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, membabitkan SOP dan pematuhan garis panduan kemasukan penyokong menjadi perintis kepada venue lain untuk mendapat lampu hijau kemasukan penyokong.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa kelemahan atau masalah kecil yang perlu diperbaiki di beberapa venue tertentu bagi memastikan setiap penyokong hadir ke stadium mematuhi SOP ditetapkan.

"Apa yang boleh saya katakan SOP utama dipatuhi atau diikuti oleh penyokong namun ada beberapa perkara perlu diperbaiki bagi memastikan tidak timbul masalah nanti," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 2:43pm
d